ANTARA ULAMA DAN RAJA - SH Alattas

ANTARA ULAMA DAN RAJA

Oleh : SH Alattas


"Alangkah baiknya seorang raja yang berada di pintu para ulamanya dan alangkah buruknya seorang ulama yang selalu berada di pintu para rajanya."

Hadith Nabi SAW

ALFATIHAH kepada Baginda Rasul SAW, kaum keluarganya, sahabat-sahabatnya dan para wali Allah yang nama-namanya tersebut dan tidak tersebut di dalam bab ini. Dan Al-Fatihah juga ke atas roh-roh para ulama yang telah terkorban dalam perjuangan menegakkan agama Allah yang maha suci. Alfatihah....




Pada hari Jumaat dalam bulan November tahun 1988, dengan izin Allah saya telah berpeluang menziarahi makam seorang "ulama besar " seorang Wali Allah Almarhum Tuan Syekh Abdul Wahab di Babussalam, Tanjungpura, Langkat. Saya berziarah ke sana bersama dengan Tengku Tahura selepas kami menziarahi makam ayahandanya Pengiran Amir Hamzah di pekarangan masjid Azizi Tanjung Pura.

Melawat makam ulama dan Wali Allah ini menjadi amalan saya. Saya telah menziarahi makam Rasulullah SAW di Madinah dan juga makam imam-imam besar termasuk makam imam Ali bin Abi Talib ra. dan makam Imam Hassan ra. makam imam Hussein ra. di Kaherah, Mesir dan di Karbala, Iraq. Ini kerana kepala baginda dimakamkan di Kaherah, sementara tubuh Baginda pula di Karbala. Begitu juga dengan makam Imam Ali Az Zainal Abidin Hussein ra. di Madinah dan makam-makam Syaidina fakil mukadam Muhamad Bin Ali Balawi para ahlul bait, Imam-imam besar yang lain-lain: Imam Malik, Imam Hambali, Imam Shafie, Al Ghazali dan raja segala wali Sheikh Abdul Qadir Jailani di Baghdad. Saya sentiasa memuliakan para wali Allah kerana mereka itu mempunyai kekeramatan yang Allah anugerahkan kepada mereka. Maka itulah di antara sebab saya ke Babussalam terlebih dahulu sebelum saya menulis buku ini untuk mengharapkan berkat dari Wali Allah yang telah membimbing dan memberi petunjuk kepada raja-raja.

Setibanya kami di Babussalam, rombongan kami diberikan sambutan mesra oleh ahli waris tuan Syekh tersebut. Seperti makam-makam wali Allah di Negara Islam yang lain, saya dapati ramai yang berziarah duduk membacakan ayat-ayat suci Al-Quran di makam tersebut.

Setiap hari orang ramai datang berpusu-pusu untuk berziarah ke makam ini seolah-olah seperti ada pesta. Selalunya tak kira puluhan atau ratusan tahun para wali keramat itu dikebumikan. Namun yang hidup masih tetap merasakan yang Roh Almarhum itu ada disitu menyambut orang yang menziarahinya dan ramai manusia yang tumpang hidup dengan berkat dan kemuliaan wali Allah yang sudah berpindah ke alam baka.

Tengku Tahura memperkenalkan saya kepada Tuan Syekh sebagai seorang penulis buku dari Malaysia. Cucu Tuan Syekh di Babussalam juga mempunyai status sebagai Tuan Syekh dan mempunyai ramai murid-murid. Saya menghulurkan tangan dan kami bersalam. Seperti guru-guru tarikat yang pernah saya kunjungi, Tuan Syekh ini bersikap merendah diri (tawathuk) dan begitu menghormati orang yang datang menemuinya.

Saya sungguh merasa bangga dan terharu sewaktu mengunjungi Tuan Syekh dan keluarganya ini. Layanan yang diberikan sungguh istimewa dan memeranjatkan saya. Walaupun pertama kali menatap mata dan bersentuhan tangan, tetapi kemesraan yang terlahir seperti antara kami sudah kenal sejak lama dulu. Rasanya hati antara kami seperti terus terikat kepada satu batang dan dengan seutas tali yang sama.

Saya percaya kemesraan ini adalah kerana hubungan ilmu yang mengabungkan kasih dan rasa hati. Jiwa antara kami mudah tersentuh kerana berada atas landasan ilmu yang sama, iaitu ilmu kerohanian. Di sinilah terdapat kenikmatan dan keistimewaan yang dirasakan oleh mereka yang mempunyai ilmu kerohanian. Kemesraan cepat terjalin, kasih sayang segera menyelinap ke hujung hati.

Sudah menjadi satu kebiasaan bagi orang yang mempunyai pegangan kerohanian, mereka tahu hakikat diri mereka sendiri. Mereka sedar dan insaf bahawa tidak ada apa-apa perbezaan sesama manusia. Semuanya berasal dari benih dan pokok yang sama. Sama-sama bertauhidkan Allah dan sama-sama pula memegang rahsia yang diamanahkan oleh Allah. Warna kulit, kebudayaan dan adat resam bukan satu perbezaan. Yang penting ialah akidah yang sama-sama mengEsakan Allah sebagai Tuhan kita dan mengakui Muhammad sebagai RasulNya.

Itulah yang memesrakan kami dan itulah tali yang mengikatkan kami. Ikatan secara batin lebih teguh daripada ikatan secara lahiriah. Ini kerana ikatan batiniah ditambat sendiri oleh Allah sementara ikatan lahiriah hanya ciptaan dan simpulan oleh manusia sendiri.

Sebelum kami berangkat pulang beliau dengan penuh khusyuk mengangkat tangan membacakan doa bermohon kepada Allah untuk kami. Tuan Syekh mendoakan semoga Allah memperkenankan hajat dan memberkati cita-cita murni yang kami hajati.

Almarhum Sultan Langkat, Sultan Musa Al Mua'azzamsyah sangat-sangat menghormati dan mengambil berat akan kesejahteraan Tuan Syekh Abdul Wahab, Datuk kepada Tuan Syekh yang kami temui ini.

Di samping menjadi raja yang memerintah, beliau menjadi murid yang baik kepada Tuan Syekh Abdul Wahab dan sebagai seorang murid seperti murid-murid yang lain. Baginda sultan tidak segan silu untuk mencium tangan gurunya untuk mendapatkan berkat dari guru. Ini sifat seorang raja yang telah mempelajari ilmu tauhid. Begitulah mengikut cerita Tengku Tahura kepada saya. Kalau tidak dengan penuh kesombongan mengharapkan rakyat mencium tangan raja yang tak dapat memberikan berkat.


Sultan Musa, sebagai raja di Langkat, bukan sahaja pernah mencium tangan Tuan Syekh Abdul Wahab tapi telah turut apa saja perintah gurunya dengan taat tanpa pernah membantah.

Suatu hari Sultan Musa pernah dihukum oleh Tuan Syekh supaya bertaubat. Baginda disuruh supaya beristigfar di tangga masjid Babussalam. Baginda ikut perintah guru dengan taat.

Peristiwa Sultan Musa disuruh beristigfar depan tangga masjid itu telah menggemparkan seluruh istana Langkat. Ada di antara keluarga di raja yang telah datang dari Tanjung Pura dengan pedang terhunus hendak mengajar Tuan Syekh Abdul Wahab. Kononnya Tuan Syekh telah menghina sultan di khalayak ramai dan guru seperti ini mesti diajar.

Sultan Musa dengan tenang menjelaskan perkara yang sebenarnya kepada kerabat baginda yang cuba menderhaka terhadap gurunya. Sultan memerintahkan agar kerabatnya pulang sahaja dan menasihatkan mereka itu supaya jangan membuat tidak tentu kepada guru yang amat dikasihinya. Ketika itu barulah mereka sedar bahawa tidak ada hinanya seorang raja menurut perintah guru. Kedudukan guru yang bertaraf wali jauh lebih mulia dari seorang raja. Ini kerana di sisi Tuhan, orang yang lebih mulia itu adalah orang yang lebih takwa terhadapNya. Raja yang mempelajari ilmu tauhid tahu perkara ini.
Pada suatu hari Sultan Al Muazzamsyah bertitah di hadapan pembesar-pembesar kerajaan, baginda mengatakan bahawa, Tuan Guru Syekh Abdul Wahab adalah seperti ibu dan bapanya. Kerana Tuan Gurunya adalah seorang yang alim di bidang ilmu keTuhanan, seorang yang warak, yang hidupnya semata-mata kerana Allah. Gurunyalah yang telah mengajar baginda sultan supaya mengenali siapa dirinya dan siapa Tuhannya. Maka sebab itulah baginda segera bertaubat setelah baginda tahu halal dan haram yang telah di ajar oleh gurunya. Sejak itu beliau telah mendapat taufik dan hidayat dari Allah dan sejak bergurukan Syekh Abdul Wahab. Baginda pun taat pada perintah Allah, tidak lagi melakukan perkara-perkara yang mungkar dan sentiasa membuat yang disuruh oleh Allah.

Baginda mengucapkan kata-kata pujian terhadap guru tersebut dikhalayak ramai. Baginda tak dapat menyembunyikan perasaan terharu baginda hinggakan air mata sultan jatuh membasahi pipi tanpa disedari, peristiwa ini disaksikan oleh orang ramai. Inilah satu sejarah yang sukar untuk dilupakan. Tuhan telah makbulkan doa Syekh Abdul Wahab untuk membimbing dan menunjuk ajar pada raja-raja dan pembesar-pembesar dalam negerinya.

Syukur Alhamdullilah, Almarhum Sultan Musa Almu'azzamsyah yang pernah memerintah negeri Langkat telah berada di pintu para ulamanya. Bukan ulama yang berada di pintu istana raja mereka, sebab itu Allah telah selamatkan baginda dan memberikan kemuliaan kepada ulama yang menyembah Allah tidak sultan.

Almarhum Tuan Guru Syekh Abdul Wahab yang mengajar tarikat Naqsyabandiah ini tidak mementingkan kemewahan hidup duniawi dan telah memberi ajaran yang berkesan terhadap murid -muridnya. Dari seorang rakyat biasa kepada para pembesar dan raja, murid-muridnya berada di Sumatra dan di seluruh Indonesia terdapat puluhan perkampungan tarikat seperti ini tanpa apa-apa gangguan dari ulama yang bekerja dengan kerajaan. Begitu jugalah halnya di Mesir yang terdapat kira-kira 60 buah tarikat yang diiktiraf oleh kerajaan. Sementara berpuluh-puluh lagi bebas mengadakan kegiatan masing-masing tanpa mendapat sekatan dan halangan dari kerajaan.

Mengikut perkembangan tariqat di negeri ambia ini sungguh menyenangkan hati. Di Mesir mana-mana kumpulan tariqat bebas untuk mengadakan sebarang aktiviti mereka. Mereka tidak perlu selindung-selindung seperti di tempat kita. Di merata masjid di Mesir ada sahaja kumpulan tariqat yang mengadakan majlis hadrah ataupun maulid Nabi. Walaupun di Yaman Selatan yang menggunakan sistem Marxis, namun pengikut-pengikut bebas mengadakan hadrah dan perarakan di tengah- tengah bandar seperti kita mengadakan maulud nabi, berarak secara besar-besaran.

Hal ini mengingatkan kita akan sebuah hadith Rasulullah SAW yang antara lain kira-kira begini bunyinya:

"Sesungguhnya bila seorang ulama mengajarkan ilmunya kerana Allah, maka segala sesuatu akan takut kepadanya. Tetapi bila dia mengajarkan ilmunya untuk mencari harta dunia, maka dia akan takut kepada segala sesuatu itu".

Kita lupakan cerita Sultan Musa dan Syekh Abdul Wahab mari kita ke negeri Arab di zaman Sultan Al-Mansur.

Seorang raja yang pernah berkuasa di bumi Arab, Sultan Al-Mansur ini yang sentiasa mencurigai para ulamanya, terkecuali para ulama yang selalu berada di pintu istananya. Dalam bab Antara Ulama dan raja ini saya perturunkan cerita tentang raja-raja dan ulama di zaman dulu untuk menungan dan kajian mereka yang nak tahu tingkah laku raja dan ulama.

Al-Mansur mencurigai dan mengawasi gerak-geri Imam Malik seorang ulama besar yang tidak asing lagi bagi seluruh umat Islam. Beliau termasuk salah seorang dari ulama mazhab besar iaitu Mazhab Maliki di samping Imam Abu Hanifah dan Imam Idris Asy Syafi'i. Imam Syafi'i, yang menjadi ikutan kepada sebahagian dari penganut Islam di Malaysia pernah bergurukan Imam Malik.

Imam Malik banyak menulis dan mengarang. Di antara kitabnya yang besar dan termahsyur adalah kitab "Al-Muwatha" yang hingga ke hari ini masih di baca, di kaji dan diambil manfaatnya oleh ulama generasi sekarang.

Beliau warga kota suci Madinah Al-Munawarah, kota Rasulullah SAW, sumber ajaran Islam yang murni dan kalimat tauhid yang cahayanya terpancar ke seluruh pelosok dunia. Cahaya yang telah mengeluarkan umat manusia dari alam jahiliyah ke alam yang terang benderang. Sebagai warga kota yang baik, Imam Malik sentiasa berpakaian rapi dan bersih sambil duduk di dalam masjid Nabawi di antara makam dan raudha Rasulullah SAW. Beliau sangat tekun dan khusyuk beribadah, zikir dan bertaqqarrub, memuji kebesaran Allah, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Selain itu beliau juga berselawat dan berdoa memohon syafaat Nabi Besar Muhammad SAW.

Masjid Nabawi yang agung, dibuminya bersemayam jasad seorang Rasul kekasih Allah, Muhammad SAW. Dengan sebuah taman "Raudah Nabi", setiap orang yang memasukinya akan merasakan ketenangan fikiran, seolah-olah berada di salah satu taman syurga di alam yang kekal dan abadi. Setiap orang Islam yang berkemampuan dan yang cinta dan kasih pada Rasulullah wajib menziarahi makam Nabinya walaupun sekali dalam seumur hidup.

Di tempat yang mulia itulah Imam Malik dikelilingi oleh para muridnya dari berbagai lapisan dan tingkatan masyarakat, besar atau kecil, kaya atau miskin, mendengar dan mencatat ajaran dan fatwa, kuliah dan ceramah yang disampaikan oleh Imam Malik secara jelas, tegas dan berani tanpa berselindung. Yang benar, dikatakan benar, dan yang salah dikatakan salah, meskipun terhadap pegawai-pegawai kerajaan. Imam Malik pernah berfatwa:

"Tidak sah perceraian yang dipaksakan. Bahkan apa sahaja yang dipaksakan dan tidak sesuai dengan kehendak rakyat, menurut hukum Islam batal dan tidak sah."

Fatwa ini kemudian tersebar luas dan dianuti oleh sebahagian besar umat, bagaikan embun pagi menyiram hati mereka yang merasa hak asasinya dilanggar oleh para raja. Sebaliknya bagi para pegawai kerajaan dan raja, fatwa tersebut bagaikan petir di siang hari menyambar telinga mereka.

Adapun fatwa yang diucapkan oleh Imam Malik itu diambil dari sebuah hadith Rasulullah SAW: Yang hak dan benar. Mendengar fatwa tersebut, maka tidaklah menghairankan bila Al-Mansur segera memanggil Imam Malik untuk menghadap dan meminta kepadanya agar menarik balik fatwa tersebut, demi mengembalikan kewibawaan raja di mata rakyatnya. Atau ia membuat sebuah fatwa lain yang dapat menolak dan membatalkan fatwanya yang semula.

Akan tetapi Imam Malik tetap teguh pendiriannya. Beliau menegur dengan penuh kejujuran bahawa sesuatu yang hak dan benar tidak dapat disembunyikan walaupun ia dirasakan sebagai sesuatu yang pahit dan sukar diterima. Memang begitulah halnya: "Truth is always bitter". Maka itulah sebabnya tak ramai manusia yang berani menghadapi kenyataan tetapi lebih suka menjadi hipokrit.

Dari sinilah mulai timbul tabir pemisah antara Al-Mansur dengan Imam Malik. Dia dilarang memberikan pelajaran fatwa. Gerak langkahnya dibatasi, diawasi dan dihalangi. Namun Imam Malik tetap berjalan dan melaksanakan tugasnya. Ia tidak gentar dan takut dengan segala macam ancaman yang ditujukan kepadanya. Sebagai ulama pengembang wasiat Rasulullah SAW, dia merasakan kewajiban melaksanakan perintah Allah dan RasulNya terletak dibahunya. Ketegasannya ini telah menyebabkan dia ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Kemudian ia disiksa dan dipukul dengan sebatan sebanyak tujuh puluh kali oleh pegawai kerajaan Al-Mansur. Namun dalam peristiwa itu Al-Mansur mengelak dan berpura-pura tidak tahu.

Setiap raja mesti mengetahui dan mengambil tahu apa yang telah dilakukan oleh pegawai-pegawai pemerintah terhadap rakyat di bawah jagaannya.

Al-Mansur sebagai raja dan pemimpin tertinggi tahu dan mengerti atas setiap peristiwa dan kepentingan rakyatnya. Oleh itu beliau sepatutnya mesti sentiasa menyelidiki hal ehwal umat dan selalu turun mengawasi tingkah laku pegawai bawahannya. Namun ini tidak dilakukan oleh beliau.

Setiap kekerasan dan paksaan, lambat atau cepat akan membawa malapetaka yang tidak diinginkan. Dan pada suatu ketika akan meledak, meruntuhkan kedudukan dan kewibawaan pemimpin maupun raja. Bagaimana hebatnya manusia, ia tetap tidak dapat bekerja tanpa bantuan orang lain. Untuk mencapai matlamat yang hendak dituju perlu ada iklim yang sihat, dalam erti kata kesatuan dan persatuan, aman tenteram, serasi, senada dan sefahaman dengan menjunjung tinggi asas musyawarah.

Kewibawaan seseorang tergantung dari tingkahlakunya yang baik, hormat menghormati dan saling menghargai pendapat orang lain, sehingga ia dihormati dan disegani. Kewibawaan yang seharusnya dimiliki oleh setiap pemimpin, terutama para raja, yang mengatur strategi pemerintahan yang berasaskan kerakyatan hendaklah menitik beratkan kepentingan umum daripada kepentingan peribadi. Sistem pilih kasih atau kekeluargaan pada suatu jabatan penting dalam kerajaan akan mengakibatkan hal-hal negatif, kerana mereka selalu merasa dilindungi oleh pihak atasan. Ini menyebabkan mereka berbuat sekehendak hati mereka terhadap rakyat, sebagaimana contoh yang terjadi pada masa kerajaan Al-Mansur terhadap Imam Malik dan para pengikutnya.

Al-Imam Malik bin Anas sangat peramah dan pemaaf serta sangat menghargai pendapat orang lain. Pakaiannya sentiasa akan bersih dan kemas. Dia suka memakai wangi-wangian. Beliau akan membiarkan orang menunggunya, biarpun raja sekalipun selagi beliau mendapati pakaiannya belum cukup kemas.

Satu perkara yang unik yang ada pada diri Imam Malik ialah beliau amat menggemari kuda yang berwarna putih. Satu ketika sedang beliau memimpin seekor kuda putih kesayangannya di kota Madinah, beliau telah ditanya oleh seorang sahabat yang kebetulan berada di situ.

"Wahai Imam Malik", kata sahabat itu, "Mengapakah tuan tidak menunggang kuda itu?"

Jawab Imam Malik, "Bagaimana aku mahu menunggang kuda ini di tempat yang sebegini suci. Bukankah aku sedang berada di atas bumi dimana bersemadinya kekasih Allah. Jika aku menunggang kudaku itu, aku sudah menjadi angkuh, dengan membiarkan aku dan kudaku memijak bumi yang suci ini?"

Imam Malik juga adalah seorang yang amat pemurah sehingga beliau menghadiahkan sahaja kuda kesayangannya kepada sesiapa sahaja yang memintanya.

Selain dari itu Imam Malik juga mempunyai ilmu firasat yang dapat mengenali bukan saja sifat lahiriah seseorang, malah juga sifat-sifat rohaniah.

Fatwanya mantap, tegas dan memuaskan sesuai dengan Al-Quran dan Al-Hadis. Imam Malik pernah berkata di hadapan Al-Mansur.

"Demi Allah aku sudah memaafkan setiap orang yang pernah berlaku kasar atau pernah memukul aku, semoga Allah memaafkan mereka".

Itulah kebesaran peribadi Imam Malik yang hatinya bersih dan tidak menyimpan dendam terhadap sesiapa pun. Malah dia mendoakan mereka dengan segala kebaikan. Sifat Imam Malik ini semoga dapat dicontohi oleh para ulama kita sekarang ini.

Setelah sedikit sebanyak kita mengikuti peristiwa yang berlaku di antara raja Al-Mansur dengan seorang ulama besar Imam Malik bin Anas, mari kita perhatikan pula apa yang berlaku di antara seorang raja yang terkenal, iaitu Harun Al-Rasyid, yang secara rasminya diangkat sebagai Khalifah.

Setelah secara rasmi Harun Al-Rasyid diangkat sebagai Khalifah, saban hari beliau menerima ucap selamat dari sahabat-sahabatnya kecuali seorang ulama besar, Sufyan bin Said bin Munzir Ats Tsauri, Sufyan bin Said tidak pernah menampakkan dirinya, sehingga Khalifah Harun Al-Rasyid merasa perlu untuk mengirim surat kepadanya:

Beginilah bunyi surat itu:

Dari Hamba Allah Amirul Mu-minin Harun Al-Rasyid.
Kepada saudara Sufyan Bin Said Bin Munzir Ats Tsauri.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh:

Ammad ba-du! Saudaraku Sufyan, sebagaimana saudara mengetahui bahawa Allah SWT telah mempersaudarakan orang-orang mukmin. Maka jauh sebelum aku menjadi Khalifah, persaudaraan itu sudah sangat erat antara engkau dan aku. Bahkan sampai hari ini dan saat ini aku tetap menganggap saudara sebagai orang yang paling dekat dengan aku. Di mana seperti saat-saat sekarang ini Allah SWT telah memikulkan beban urusan ummat di atas pundakku. Aku sangat mengharapkan kedatangan mereka. Ketahuilah bahawa seluruh ulama di kota ini dan sekitarnya, sudah datang memberi ucapan selamat kepadaku. Kepada mereka yang berdatangan itu aku telah memberikan berbagai hadiah sebagai tanda syukur kepada Allah dan tanda terima kasihku kepada mereka. Semoga dengan diterimanya suratku ini, kedatangan saudara akan ku sambut dengan gembira sebagaimana yang kulakukan terhadap para tamu yang lainnya.


Setelah surat itu sampai kepadanya, Imam Sufyan tidak mahu menyentuhnya. Dia menyuruh orang lain yang membacanya. Setelah ditanya mengapa surat itu tidak disentuhnya, beliau menjawab: "Aku tidak ingin menyentuh apa-apa yang telah disentuh oleh tangan-tangan yang berdosa".

Lalu Imam Sufyan menyuruh orang lain untuk membalas balik surat tersebut di belakang surat yang diterima. Orang yang disuruh menulis surat itu berkata: "Aku kira kurang sopan kita menulis surat kepada Khalifah dengan kertas bekas Khalifah sendiri". Sufyan menjawab: "Itu adalah urusanku sendiri, tulislah apa yang aku katakan". Kemudian Imam Sufyan mencatat isi suratnya sebagai berikut:

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang
Dari hamba Allah yang penuh dosa.
Sufyan bin Said bin Munzir Ats Tsauri.
Kepada hamba Allah yang angkuh, Harun Al Rasyid.

Amma Ba'du! Ketahuilah ya Harun Al-Rasyid, bahawa mulai hari ini aku telah memutuskan tali persaudaraanku dengan engkau. Dan aku telah menghapuskan dari dalam hatiku rasa kasih sayangku padamu. Sungguh engkau adalah orang yang bodoh dan boros. Apa yang selama ini belum aku ketahui tentang dirimu, sekarang sudah terbuka semuanya melalui suratmu itu. Aku bersama orang-orang yang telah membaca suratmu itu dengan sendirinya menjadi saksi atasmu di hadapan Allah pada hari kemudian. Apa sebabnya? Bukankah engkau telah berkata di dalam suratmu itu bahawa engkau telah membagi-bagikan hadiah pada orang-orang yang datang kepadamu untuk menyampaikan ucapan selamat? Bukankah engkau mengambil hadiah ? Hadiah itu dari Baitul Maal? Lalu engkau bagi-bagikan kepada mereka yang tidak berhak menerimanya? Ya Harun Al Rasyid! Apakah sudah meminta izin kepada fakir miskin, janda, anak-anak yatim, para mujahidin fisabilillah, dan para pejuang agama Allah: membagi-bagikan hak mereka kepada orang-orang yang datang kepadamu itu?

Ya, Harun Al-Rasyid! Dahulu aku mengenal engkau sebagai seorang yang zahid, suka bergaul menghadiri majlis-majlis Al-Quran? Tetapi sekarang dengan kekuasaan yang engkau miliki justeru telah menjauhkan dirimu dari semua itu. Maka sekarang bersiap-siaplah engkau menjawab pertanyaan-pertanyaan yang diajukan Allah nantinya.

Ya, Harun Al-Rasyid! Ketahuilah bahawa kematian akan datang. Ya Harun Al-Rasyid! Itulah nasihat-nasihatku padamu. Peliharalah amanat Allah dan lindungilah ummat Muhammad SAW dan berikanlah hak-hak mereka.

Ya Harun Al-Rasyid! Berhati-hatilah dalam kehidupan di dunia ini. Ujian dan cubaan selalu mengintaimu. Nasihat yang paling baik adalah nasihat dari dirimu sendiri.


Itulah kisah-kisah para ulama yang tercatat dalam sejarah dengan tinta cahaya iman. Cahaya yang telah menerangi jalan yang gelap. Iman yang membawa manusia pada ketakwaan dan keredhaanNya.

Jalan yang telah ditempuh oleh orang-orang soleh dan para ulama terdahulu, yang tegas dalam menyuarakan yang hak dan berani menolak memang sudah sepatutnya diketahui oleh kita semua. Ini kerana mereka didasari oleh keyakinan bahawa apa yang mereka kerjakan adalah demi kebaikan semua umat manusia, sesuai dengan ajaran agama Allah. Justeru itu maka hendaklah kita ketahui bahawa Allah telah mengamanatkan kepada para ulama untuk melaksanakan amar ma'ruf dan nahi mungkar di mana saja dan bila-bila masa jua.

Demikianlah sikap para ulama, seperti Sufyan Ats Tsauri, Imam Malik dan Imam Abu Hanifah. Mereka berani memperingatkan para raja dengan kata-kata yang penuh bijaksana dengan berlandaskan kepada hadith dan firman.

Setelah mengikuti kisah para ulama yang begitu tegas dan berani membuat teguran terhadap pemimpin maupun raja, tergerak di hati hendak mengetahui apakah ada diantara para ulama di negara kita ini yang berani berbuat demikian?

Apakah para raja-raja sekalian sentiasa mendampingi para ulama?

Apa yang saya tahu kebanyakkan para ulama di negara kita takut menyuarakan apa yang benar dan apa yang salah. Apa yang pemerintah buat mereka akan cuba mencari hadith-hadith yang daif untuk boleh disesuaikan dengan keinginan kerajaan serta raja-raja.

Kebanyakkan para ulama di Malaysia ini bergantung hidup dengan kerajaan. Memang tidak boleh dinafikan di atas kepakaran para ulama kita bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan para pemimpin ataupun raja-raja. Walaupun telah mendapat gaji yang cukup, gelaran Datuk juga sangat mereka harapkan. Selain daripada itu, mereka melibatkan diri mereka dalam kancah-kancah politik. Mereka turut menjadi pemimpin persatuan-persatuan ulama yang mencari salah silap kerajaan dan golongan yang tak sebulu dengan mereka. Tidak kurang juga yang terlibat dengan segala macam rasuah. Ulama-ulama yang seperti inilah yang saya isytihar perang sepertimana yang telah saya jelaskan di dalam "Penutup" buku ini.

Di samping itu ada suatu pekerjaan ulama kita yang menggelikan hati. Bila menjelang Ramadhan mahupun Syawal mulalah para ulama itu mengintai sana, mengintai sini, mencari anak bulan. Bukankah itu suatu yang lucu, macam budak kecik yang baru dapat teropong. Mereka seronok bila televisyen atau akhbar memaparkan gambar mereka sedang mengintai-intai anak bulan. Saya kata ini lucu sebab orang-orang kafir pun telah pun menjejakkan kaki mereka di bulan.

Sikap ulama yang semacam ini telah menjejaskan jemaah-jemaah tarikat yang turut bersama dalam menegakkan agama Allah termasuk jemaah Al-Arqam. Namun ini tidak melemahkan semangat jemaah tersebut untuk mengembangkan syiar Islam sesuai dengan cara amalan Al-Arqam itu sendiri.

Para ulama cepat sungguh bertindak menyalahkan dan menyesatkan amalan jemaah tersebut dan juga amalan jemaah lainnya seperti Thariqat Naqsyabandiyah. Para ulama berkenaan lupa ataupun silap, bahawa setiap amalan itu ada rukun dan syaratnya. Seperti sembahyang mempunyai rukun dan syarat. Jika tidak diikuti rukun dan syaratnya sembahyang itu tidak sempurna. Sedangkan bertanak nasi pun mempunyai syarat, mesti ada beras, air, api dan mesti ada orang yang pandai bertanak, barulah menjadi nasi.

Lebih mendalam lagi dijelaskan di sini, bahawa amalan sesuatu Thariqat itu sungguh halus, bersih dan murni. Seperti yang diamalkan dan diajarkan oleh Almarhum Tuan Syekh Abdul Wahab, tuan guru Babussalam di Langkat, Sumatera. Sejarah wali Allah dari Babussalam ini telah disusun oleh Haji A. Fuad Said dalam bukunya yang berjudul: "SYEKH ABDUL WAHAB TUAN GURU BABUSSALAM".

Menurut beliau, Tuan Syekh Abdul Wahab berangkat ke Mekah melalui Singapura. Pada waktu itu di Singapura terdapat seorang Syekh yang keramat, bernama Habib Nuh Al-Habshi. Makamnya kini masih lagi terdapat di Tanjung Pagar, Singapura.

Banyak hal-hal yang tak masuk akal dan ganjil terdapat pada diri Habib Nuh. Di antaranya, apabila Habib Nuh memasuki sebuah kedai, dia lalu menghancurkannya barang-barang yang ada dalam kedai itu. Tiada berapa lama kemudian, tuan punya kedai itu menjadi kaya raya. Dan jikalau meminta wang atau sesuatu daripada seseorang maka orang itu tak lama kemudian akan beroleh keuntungan yang besar.

Kalau ada orang yang memberinya sejumlah wang, maka kadang-kadang diterimanya, dan kadang-kadang dibuangkannya ke dalam laut.

Pada suatu ketika beliau ditahan oleh kerajaan Singapura, namun pada keesokan harinya, Habib Nuh dilihat orang di Pulau Pinang. Ini sungguh aneh. Pada hal beliau masih lagi berada di dalam lock-up di Singapura. Banyak lagi kekeramatan pada diri Habib Nuh, yang dikatakan oleh umum yang tak dapat kita ungkapkan di sini satu persatu. Itulah keistimewaan yang terdapat pada seorang wali Allah yang mempunyai kekeramatan.

Setibanya di kota Singapura, Pakih Muhammad atau Syekh Abdul Wahab terus menemui Habib Nuh, dengan terlebih dahulu memberi salam. Setelah menjawab, Habib Nuh pun mencium tangan, bahu, dan seluruh tubuhnya, yang mana belum pernah dilakukannya terhadap orang lain. beliau mengucapkan:

"Barakallahu', Barakallahu' (Allah memberkatimu).

Tindakan Habib ini menghairankan ramai orang yang mengenali beliau.

Setelah beberapa hari di Singapura, barulah tuan guru Abdul Wahab bersama dengan seorang rakannya yang bernama Haji Bahauddin berangkat ke Makkah dengan menumpang kapal "Seri Jedah".

Selama berada di Makkah selama 6 tahun, Haji Abdul Wahab tidak pernah mensia-siakan waktunya. Seluruh waktunya dipergunakan untuk menuntut ilmu duniawi dan ilmu akhirat. Perjalanannya hanya sekitar dari rumah ke Masjidil Haram, Makam Ibrahim, Hijir Ismail, telaga zamzam dan rumah gurunya.

Meskipun telah banyak kitab yang dipelajari namun Haji Abdul Wahab belum puas sebab menurut anggapannya, dia masih berhasrat untuk mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tercela, seperti takabbur, ujub dan sum'ah, dan kasih kepada dunia. Ia ingin menjauhkan diri dari 10 sifat tercela, sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab-kitab tasauf.

Beliau mendapati bahawa tingkah laku ulama-ulama fikih yang ada di Makkah, kebanyakkannya masih suka berpakaian dan mempunyai rumah mewah, sedangkan ulama tasauf dan ahli thariqat biasanya rendah hati, khusyuk, sabar, sentiasa zikrullah seperti perangai Nabi-Nabi, sahabat dan Tabi'in dan seperti tingkah laku wali-wali yang saleh. Maka dimintanya petunjuk-petunjuk ulama-ulama tasauf tentang amalan yang patut diperbuat supaya menjadi orang yang dikasihi Allah dan mewarisi sifat-sifat yang ada pada Nabi-Nabi. Ramai di antara sahabatnnya yang menasihatkan beliau supaya segera mengambil amalan thariqat dan ber'iktiqaf (khalwat), serta zikurllah (mengingati Allah) dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana zikrullah itu adalah amal ibadah yang menghampirkan diri seseorang kepada Allah sepertimana firman Allah SWT, dan sabda Nabi serta perbuatan sahabat.

Haji Abdul Wahab pun memperdalamkan pengetahuannya dalam bidang tasauf, dengan mempelajari kitab "Ihya Ulumuddin" karangan Imam Ghazali dan kitab-kitab lainnya. Di samping itu beliau meminta nasihat gurunya Syeikh M. Yunus. Kemudian gurunya itu menyerahkan beliau belajar dengan Syeikh Sulaiman Zuhdi, di puncak Jabal Kubis, berhampiran dengan Masjid Bilal.

Syeikh Sulaiman Zuhdi adalah seorang pemimpin thariqat Naqsyabandiah yang terkenal pada masa itu dan menjadi pemimpin ibadah di Jabal Kubis sejak bertahun-tahun lamanya. Ramai orang bersuluk (khalwat) ditempat itu. Mereka datang dari seluruh dunia termasuk: Turki, India, Malaya, Indonesia dan dari negara-negara lainnya.

Setelah menerima thariqat ini, Haji Abdul Wahab pun mengamalkannya dengan bersungguh-sungguh. Kadang-kadang duduk berzikir berjam-jam di atas Jabal Kubis. Sementara itu terus mengaji kepada Sayid Dahlan, mufti Syafii, kepada Syeikh Hasbullah dan kepada murid-muridnya, dengan mengatakan bahawa tujuan suluk ini adalah mendekatkan diri kepada Allah. Caranya dengan memperbanyakkan zikir, memerangi hawa nafsu, dan meninggalkan sesuatu yang melalaikan diri dari mengingati Allah.

Sikap demikian itu hendaklah dilakukan sepanjang waktu dan ketika supaya mencapai martabat makam insan, seperti sabda Nabi yang maksudnya:

"Sembahlah Allah, seolah-olah engkau melihat-Nya dan apabila engkau tidak melihat-Nya, Maka Dia melihatmu."

Berkat kesungguhannya beramal selama masa menjalani ibadah suluk, maka banyaklah rahsia kebesaran Allah yang ajaib-ajaib diperlihatkan Allah kepadanya. Terbukalah hijab (dinding) seluas-luasnya, hingga ia dapat menyaksikan dan menikmati sesuatu yang tak dapat dilihat oleh manusia biasa.

Syeikh Sulaiman Zuhdi amat gembira menyaksikan kemajuannya yang luar biasa, dan mendoakan kepada Allah, semoga ia kelak akan dapat mengembangkan ilmu thariqat Naqsyabandiah ini, di Sumatra, Malaya dan negeri-negeri lain.

Pada suatu ketika, Syeikh Sulaiman Zuhdi telah mendapat petunjuk dari Allah dan bisikan rohaniah Syeikh-Syeikh Naqsyabandiah bahawa kepada Haji Abdul Wahab harus diberikan gelaran Khalifah untuk membolehkan beliau mengajarkan amalan suluk dan mengajarkan ilmu thariqat Naqsyabandiah.

Manakala hati Haji Abdul Wahab tergerak untuk kembali ke Indonesia, maka beliau pun pergi menziarahi makam Nabi di Madinah. Setibanya di Makam Nabi, Haji Abdul Wahab memohon syafaat dan membaca selawat serta mendoakan dengan khusyuknya. Setelah selesai sembahyang Isya di masjid Nabawi, tuan Haji Abdul Wahab pun memberi salam kepada Nabi:

"Assalamu'alaika ya Rasulullah, assalamu'alaika ya habiballah, assalamu'alaika ya saidal mursalin". Kemudian beliau berdoa: Ya Allah ya Tuhanku, aku hendak kembali ke tanah airku. Aku hendak mengajarkan agama Islam dengan ikhlas illahi Ta'ala, supaya kaumku keluar dari kegelapan jahil kepada terang ilmu. Mudah-mudahan berkat junjunganku penghulu Arab dan ajam (bukan Arab) dituruti raja-raja perkataanku dan didengar oleh mereka akan segala pengajaranku."

Dengan takdir Allah terjadilah sesuatu yang ajaib ke atas diri beliau, seolah-olah beliau berdialog langsung dengan Rasulullah SAW, hingga airmatanya jatuh bercucuran. Itulah sesuatu kekeramatan atau keramat yang telah dianugerahkan Allah kepada beliau.

Demikianlah setelah lima hari di Madinah mereka pun kembali ke Makkah. Dan tiada lama selepas itu, beliau pun kembali ke Indonesia. Beliau bukanlah seorang graduan universiti dan tidak pula beroleh gelaran sarjana, namun demikian ilmu pengetahuan cukup tinggi dan gerakan-gerakannya cukup mengoncangkan sendi-sendi pemerintahan kolonial Belanda. Beliau kembali ke tanah airnya sebagai seorang reformer yang membangunkan bangsanya dari tidur sekian lama untuk menjadi bangsa yang maju di bidang duniawi dan akhirat.

Negeri yang mula-mula dikunjunginya di Sumatera adalah daerah Kubu, Riau. Pada masa itu penduduk Kubu ramai yang nakal, suka berlaga ayam, berjudi dan hanyut oleh kemewahan dunia. Berkat ketekunan tuan Syeikh Abdul Wahab berdakwah, maka segala bentuk kemaksiatan yang terdapat di daerah tersebut, secara beransur-ansur dapat dihapuskan.

Setelah itu bermulalah perjalanan dakwahnya, ke negeri Panai, Kota Pinang, Bilah dan Kualah.

Setibanya di Kualah, Baginda Sultan Al-Haj Ishak mempersilakan tuan Syekh Abdul Wahab agar datang mengadap ke istana, dan Baginda Sultan berkenan agar supaya Tuan Syeikh Abdul Wahab mengembangkan serta mengajar amalan thariqat Naqsyabandiah kerana Baginda Sultan telah mengetahui sebelumnya kedudukan Tuan Syeikh Abdul Wahab semasa berada di Makkah lagi.

Sultan Al Haj Ishak dari kerajaan Kualah, terkenal dengan sifat pemurah dan suka bersedekah kepada fakir miskin. Atas nasihat Tuan Syeikh Abdul Wahab maka Baginda sultan bersedia mewakafkan sebuah asrama untuk keperluan bagi orang mengerjakan ibadah haji di kota Makkah.

Sampai hari ini asrama tersebut masih ada dan adalah suatu kenyataan yang paling menyedihkan bahawa ahli waris Sultan Al Haj Ishak beria-ia sangat untuk menjualkan asrama berkenaan. Hal ini kemungkinan sebab tekanan hidup yang dialami oleh para ahli waris kerajaan Kualah. Alhamdulillah sampai saat ini asrama tersebut belum boleh mereka jual lagi.

Setelah beberapa lama berada di negeri Kualah, Tuan Syeikh Abdul Wahab berpindah ke negeri Langkat. Sepertimana yang telah dilakukan oleh Sultan Musa Almu'azzamsyah, demikian juga halnya dengan Almarhum Sultan Al-Haj Ishak dari negeri Kualah, dua orang raja yang telah berada di pintu ulamanya. Dua orang sultan yang terkenal di zamannya senantiasa mendengar akan nasihat ulamanya.

Memang ilmu thariqat itu sanggat tinggi dan murni bagi siapa sahaja yang mengamalkannya kerana ilmu itu datang daripada Allah melalui RasulNya dan khalifah-khalifahNya. Ilmu itu mengajar orang untuk membersihkan sanubarinya agar supaya hati berkekalan mengingati Allah.

Di Malaysia ini juga terdapat bermacam-macam thariqat. Di samping thariqat Naqsyabandiah, thariqat Samaniyah, Qadariah dan Muhammadiah amalan jamaah Al-Arqam. Kesemua ilmu thariqat ini sumbernya adalah satu, Allah Azzawajalla. Mungkin cara mengerjakan amalan itu berlainan antara satu dengan yang lain. Namun tujuannya tetap satu iaitu menuju ke hadrat Allah SWT.

Yang menyedarkan kita hari ini ialah Tarikat Muhammadiah yang dibawa oleh Al-Arqam yang menjadi sasaran ulamak. Kenapa mereka yang berkuasa di bidang itu tak buat apa -apa? Semua majalah terbitan "Arqam ",Al Arqam (Edisi rumi, jawi dan inggeris), Majalah Al-Mukminah, Al-Munir dan Al-Ain telah diharamkan oleh KDN.

Tetapi tindakan mengharamkan media massa Arqam itu satu tindakan yang kejam. Satu kezaliman bukan sahaja kepada Arqam sebaliknya kepada umat Islam seluruhnya. Media massa yang diterbitkan oleh Arqam itu bukan kepunyaan Arqam, tetapi kepunyaan umat Islam seluruhnya. Arqam hanya jadi tukang terbit sahaja. Hakikat inilah yang tidak dapat difahami oleh mereka yang bertanggungjawab dalam hal ini. Mereka menganggap majalah-majalah Arqam itu kepunyaan Arqam dan milik Arqam. Sepatutnya mereka berfikir lebih luas dan mengambil masa panjang untuk berbuat begitu.

Bukankah apa yang dimuatkan dalam majalah itu semuanya merupakan perkara-perkara yang disuruh oleh Islam? Mereka menulis, mendedahkan dan memberitahu perkara yang ditegah oleh Islam. Isi kandungan buku-buku tersebut bukan idea Arqam ataupun ideologi perjuangannya tetapi ia merupakan pengajaran-pengajaran Al-Quran dan hukum-hukum Allah. Diatas sebab-sebab kebutaan dan kejahilan inilah maka saya berasa kesal terhadap mereka yang bertanggungjawab mengharamkan penerbitan Arqam.

Ulama yang secara terbuka yang meminta Kementerian Dalam Negeri mengharamkan penerbitan Arqam ialah Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Syeikh Mohd Yusuf Ismail. Beliaulah yang membuat kenyataan tersebut telah disokong oleh beberapa orang ulama dan juga individu-individu yang menggelarkan diri mereka sebagai ulama. Saya sungguh hairan kenapa mereka boleh bertindak demikian. Saya tidak nampak apakah sebab sebenarnya mereka sanggup membuat gesaan begitu.

Orang dalam KDN mungkin tidak berapa fasih mengenai agama. Mereka tidak arif. Mereka hanya bergantung kepada pendapat ulama-ulama yang mereka anggap sebagai authority dalam hal-hal yang berkaitan dengan Islam. Padahal mereka tidak tahu bahawa ulama-ulama dari golongan wahabi, ulama-ulama syariat dan ulama-ulama hakikat berbeza dari segi cara hidup, amalan dan pendekatan mereka terhadap Allah SWT. Kita tidak boleh menyalahkan mereka secara total. Sebaliknya, ulama dan individu tertentulah yang bertanggungjawab dan menanggung dosa itu semua. Mereka bukan sahaja berdosa kepada jemaah Arqam yang bertanggungjawab menerbitkan majalah itu, tetapi berdosa dengan semua pembaca majalah tersebut.

Dan apa yang menghairankan kita, kenapakah individu atau ulama tertentu seperti Pengerusi Majlis Agama Islam Kedah, Syeikh Mohd. Yusuf Ismail cuma menggesa supaya majalah penerbitan Arqam sahaja diharamkan. Kenapa beriya benar minta Kementerian Dalam Negeri haramkan majalah Islam, kenapa tidak majalah lain? Apakah majalah-majalah hiburan lain yang bertaburan di pasaran tidak salah? Apakah majalah itu tidak membawa unsur-unsur sesat? Apakah majalah itu tidak menodai aqidah manusia?

Saya rasa majalah-majalah hiburan lebih membahayakan umat manusia kerana cuba menerapkan budaya-budaya kafir kepada anak-anak muda yang masih bersih jiwanya. Ini adalah satu ironi kerana telah menjadi amalan kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai Islam. Dengan mengharamkan penerbitan yang cuba membawa manusia ke jalan yang diredhai Allah, kerajaan seolah-olah hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Majalah-majalah hiburan lebih banyak menyesatkan dari majalah-majalah terbitan Arqam. Dalam majalah hiburan ada rock, ada orang dedah peha, ada orang pakai seluar dalam sahaja. Apakah itu baik?

Tidak tahulah saya kalau ulama seperti Pengerusi Majlis Agama Islam Kedah itu lebih suka kepada majalah-majalah berbentuk demikian berbanding dengan majalah Arqam. Mungkin mereka lebih seronok membaca majalah itu kerana dapat tengok benda yang terdedah dan berkenalan dengan penyanyi rock dan juga bintang-bintang filem. Barangkali kerana ulama seperti Syeikh Mohd. Yusuf Ismail itu sudah terlalu jemu dan bosan dengan kitab-kitab tua Arab maka mereka mengalih selera dengan membaca majalah-majalah hiburan yang diterbitkan dalam bahasa Malaysia yang tidak kurang hebatnya dengan budaya-budaya yang diimport dari luar semata-mata dengan tujuan mencari keuntungan.

Kita berharap semoga raja-raja Melayu di negara kita ini selaku ketua agama merestui ilmu-ilmu thariqat dan menggalakkan ummat Islam khasnya orang-orang Melayu untuk mempelajari ilmu thariqat ini maka rakyat akan dapat membersihkan hati sanubari mereka untuk mencapai jiwa Islam yang sebenarnya. Memang telah sedia maklum bahawa para pelancong yang datang ke Malaysia mengakui bahawa orang-orang Melayu mempunyai budi pekerti yang baik, ramah mesra dan bersopan santun, akan tetapi suatu kenyataan telah menunjukkan bahawa sikap yang baik itu jika tidak disertai hati yang bersih maka rosaklah amalan yang baik itu. Sebagai contoh, pertelingkahan yang terdapat sekarang ini di antara sesama umat Melayu, UMNO, PAS dan puak-puak Serpihan, adalah menggambarkan bahawa niat itu berbeza daripada apa yang mereka lakukan.

Jika sesuatu pertikaian itu tidak dapat lagi diselesaikan walaupun dengan secara musyawarah maka berserahlah kepada Allah disertai dengan niat hati yang bersih. Insya Allah akan selesai.

Disebabkan Raja-raja adalah ketua agama maka saya sajikan fakta-fakta sejarah ini untuk diselidiki oleh raja-raja supaya tidak membiarkan para ulama membuat sesuka hati mereka kerana raja juga tidak terlepas dari menanggung dosanya.

Di Petik Dari Buku
"Revolusi Istana dan Rakyat", 1989

0 comments:

Jom Balun Kiri Kanan Atas Bawah

SEJARAH KERAJAAN KEDAH TUA

Penulisan Luar Kotak Pemikiran Biasa

GADGET CORNER

BLOGLIST APA - SILA KLIK BANNER

BLOGLIST APA - SILA KLIK BANNER
SEMUA LINK SAHABAT BLOGGERS APA BERADA DALAM BLOGLIST INI..SILA TINGGALKAN KOMEN DI APA BLOGLIST JIKA ADA BLOG YANG TERCICIR UNTUK DIMASUKAN
Powered by Blogger.

Ads 468x60px

Featured Posts