Pages

Sajak “Melayu” oleh Usman Awang - Deklamasi oleh APA


Sajak ini pernah aku deklamasikan dalam Program Jelajah Anak Malaysia pada 14 Feb 2013 yang lalu DISINI.Aku ulangtayang sekali lagi sempena Hari Kemerdekaan kali ini dengan sajaknya aku ambil dari blog Malay Rights.Semoga ianya dapat mencetuskan sedikit rasa keinsafan dalam diri kita yang kadang kadang saperti hilang Jatidiri kita sebagai bangsa yang dipanggil MELAYU.



Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak


Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah muallaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)


Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan


Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara


Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali


Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak


Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh di cari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing


Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturahim hati yang murni
Maaf diungkap sentiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa disambut
Luka pun tidak lagi berparut


Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran


Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.


- Usman Awang

6 comments:

  1. Wuuuuhuuu....wooooo!!!!!...woooooo!!!!

    Suara MANTAP bro mmg ada BAKAT SEMULAJADI...ermmm org kata GENIUS....hehe

    haaaa...tp intonasi kena pelbagai, gaya diperelok & penghayatan ditambah....ceeewah...ye la da puji melambong awal2, nak juga komplen sikit2.....muaahahaha

    anyway sebenarnya persembahan LEBIH BERTENAGA dr A. Samad Said...mengatuk dgr derrr....:)

    ReplyDelete
  2. Salam Tuan bagai permata yg belum digilap...jelas ade bakat terpendam. Tapi seriusnya tuan org melayu terlalu menyandarkan masadepan kpd pemimpin dan parti politik. soalnya, kenape kepentingan melayu harus tertakluk kpd politik? lebih2 lagi pemimpin & jongos masing2 yg tidak berjiwa melayu, tidak mendokong agenda melayu malah yg tersasar drpd impian umat melayu. belum lagi kita bercakap pasal pembelot, pengkhianat dan petualang. masanya dah tiba kita melibatkan semua individu & pertubuhan melayu dlm satu gerakan non-politik akar umbi ke arah mencapai aspirasi melayu. akhirnya, org melayu mesti berpikiran secara strategik dan berinteraski dgn apa & sesiapa saja asal kita beruntung!

    ReplyDelete
  3. Tahniah krn mengimbas kembali sajak almarhum usman awang. Amat mengesankan. sememangnya melayu tidak harus berpeluk tubuh, sebaliknya menggapai agenda. kita satukan semua umat melayu menjadi umat yg moden, progresif & positif. melayu sendiri harus menentukan masadepan bakal generasinya, bkn org politik yg bermuka2 bkn sape saje.

    ReplyDelete
  4. Bro, pilihan kpd melayu ade dua: 1. terima persekitaran yg baru di mana elemen melayu sudah tidak menjadi tunggak bernegara di malaysia ini 2. gembleng segala sumber melayu ke arah menggapai agenda (tanpa terlalu mengharap org & parti politik)

    ReplyDelete
  5. Assalam semua..
    Terima kasih kerana sudi mendengar.Ini adalah percubaan pertama kali dalam hidup saya naik kepentas mendeklamasikan sajak.Itupun sebab terpanggil bila melihat anak anak muda Jelajah Anak Malaysia begitu bersemangat sekali dalam tema patriotik mereka melakukan persembahan.

    Biasalah suara orang tua banyak sumbang sumbengnya...ha ha ha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sajak yg wajar difahami oleh pimpinan dan melaksana secara jujur.malang nyer demi bertuhankan duit,bangsa dan tanah melayu digadaikan.sayang sekali pimpinan melayu yg diangkat,pimpinan itu yg merobohkan kota bangsa melayu.itu hakikat nyer.tak percaya tanya YTL,Ananda Krishnan,Vincent Tan,Robert Kuok,George Tan serta tokey tokey peringkat daerah yg banyak memiliki tanah kerajaan.siapa yg mengkaya mereka ini jika tidak pimpinan haprak Melayu yg diangkat melayu.

      Delete

Memandangkan aku buka platform blog ini kepada Penulis Penulis Jemputan sebagai satu keluarga besar APA maka aku buka kembali ruang komen blog ini untuk anda para pembaca bertukar tukar pendapat tentang artikel yang disiarkan.

Kepada "pencinta pencinta" aku yang memang suka memaki hamun aku selama ini kena tenguk dulu artikel siapa dan penulisnya kerana blog APA kini ada 10 orang penulis tetap.Jangan maki hamun salah orang...maki hamun aku tak apa.

HARAP MAKLUM

Note: Only a member of this blog may post a comment.